New Zealand mengesahkan dua kes jangkitan COVID-19, selepas 24 hari tanpa jangkitan baharu.

Kes tersebut membabitkan dua wanita, yang tiba dari United Kingdom (UK) dan diberi kebenaran khas kerana hendak menziarahi keluarga yang sakit tenat.

Minggu lalu, New Zealand menarik balik semua larangan perjalanan domestik, selepas tidak lagi mencatatkan kes aktif COVID-19.

Walau bagaimanapun, pintu antarabangsa masih ditutup dan hanya warganegara serta pekerja sektor tertentu yang dibenarkan masuk.

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada dua pesakit tersebut adalah warganegara New Zealand, UK atau negara lain.

Kedua-dua mereka, masing-masing berusia 30-an dan 40-an, tiba di New Zealand pada 7 Jun, melalui Doha dan Brisbane.

Mereka menjalani kuarantin di sebuah hotel di Auckland, namun memohon pengecualian untuk mengunjungi orang tua mereka yang sakit di Wellington, pada 12 Jun.

Mereka diberi kebenaran untuk melakukan perjalanan ke Wellington pada 13 Jun, dan menggunakan kenderaan persendirian.

Kesemua kontak rapat mereka sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing.