Syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity hari ini mengesahkan bahawa pencarian semasa Pesawat Malaysia Airline MH370 berakhir mulai hari ini.

Dalam satu kenyataan rasmi, Ketua Pegawai Eksekutifnya Oliver Plunkett berkata pencarian itu ditamatkan dengan berat hati tanpa ada penemuan.

“Sebahagian daripada motivasi kami untuk memperbaharui carian adalah untuk cuba memberikan beberapa jawapan kepada mereka waris yang menanti. Oleh itu, dengan hati yang berat, kami mengakhiri pencarian semasa kami tanpa mencapai matlamat tersebut.

“Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana memberikan tawaran dan peluang memulakan semula carian,”katanya dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan berharap agar dapat menawarkan khidmatnya dalam pencarian MH370 yang akan datang.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika dihubungi berkata, belum lagi ada maklumat terkini mengenai usaha pencarian MH370.

Beliau juga dipercayai akan memberikan kenyataan mengenainya dalam satu sidang media esok (Rabu).