NITRIK oksida yang sering digunakan untuk merawat penyakit pernafasan akut dipercayai mampu merawat jangkitan COVID-19.

Ahli sains Dr Louis Ignarro berkata potensi rawatan menggunakan bahan digelar 'molekul ajaib' adalah lebih selamat dan sedang diuji di Hospital Besar Massachusetts.

Beliau yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1998 berkata nitrik oksida merupakan gas tidak berwarna yang secara semula jadi dihasilkan dalam badan bagi melebarkan saluran darah serta mempercepat aliran darah dan oksigen.

"Saya mempunyai setiap alasan untuk mempercayai bahawa nitrik oksida yang dihirup akan memberi kesan untuk melegakan semua keradangan dan kerosakan paru-paru disebabkan oleh COVID-19 sehingga membunuh.

"Nitrik oksida yang disedut dikenal pasti dapat menyelamatkan banyak bayi baru lahir yang kekurangan oksigen dengan kecacatan jantung," katanya yang dipetik laporan Boston Herald.

Dalam pada itu, Ignarro berkata masalah besar yang dialami pesakit COVID-19 sehingga mengakibatkan kematian adalah kerana keradangan dan pembekuan darah.

"Nitrik oksida menghalang darah daripada membeku. Jadi sudah pasti jika nitrik oksida dimasukkan ke dalam paru-paru, ia dapat mencegah darah daripada membeku dan melebarkan arteri.

"Molekul itu juga dapat melawan beberapa bakteria, parasit dan virus.

"Ia selamat dan sudah digunakan sebagai terapi penyembuhan bagi pesakit dengan sindrom gangguan pernafasan akut," katanya.

Sementara itu, penyelidik dari Universiti Bar Ilan, Israel, Milana Frenkel Morgenstern mendakwa vitamin D mampu melawan virus itu dengan lebih cepat dan berkesan.

"Pihaknya melakukan ujian terhadap 7,807 orang yang dijangkiti virus itu dan mendapati vitamin D mampu merawat pandemik itu.

"Bagaimanapun tahap vitamin D kurang dari 20 nanogram per mililiter darah dianggap tidak mencukupi," jelasnya.