Parti protentera Palang Pracharat (PPRP) sedang berunding untuk mencari rakan gabungan untuk membentuk kerajaan baharu Thailand.

Pemimpin parti PPRP Uttama Savanayana berkata perbincangan dan rundingan masih lagi berjalan termasuk dengan parti-parti kecil. Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan nama pihak-pihak berkenaan.

"Kami masih belum memuktamadkan pembentukan kerajaan baharu... Kami akan maklumkan (kerajaan campuran baharu) apabila tiba masanya.

"Kami yakin untuk membentuk kerajaan selepas ini dengan lebih 250 daripada 500 kerusi di Dewan Rendah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mengumumkan keputusan pilihan raya umum pada 24 Mac lalu yang telah lama tertangguh, bagaimanapun tiada pihak yang jelas memenangi pilihan raya itu bagi membentuk kerajaan.

Berdasarkan keputusan senarai parti yang dikeluarkan, Pheu Thai, parti yang dikaitkan dengan perdana menteri yang digulingkan Thaksin Shinawatra mempunyai 136 kerusi daripada 500 kerusi dewan perwakilan manakala parti protentera Palang Pracharat tempat kedua dengan 115 kerusi, Future Forward Party (80), Democrat (52) dan Bhumjaithai (51).

Bagaimanapun media tempatan melaporkan PPRP yang disokong oleh Jen Prayuth Chan-o-cha besar kemungkinan kekal sebagai Perdana Menteri kerana parti itu dijangka bergabung dengan Demokrat dan Bhumjaithai serta parti kecil yang lain.

Sementara itu, ketua parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul menafikan terdapat tawaran untuk membentuk kerajaan campuran dengan jawatan menteri.

"Kami akan mendengar suara rakyat," katanya dalam mesej di laman Facebooknya.

Bagi Parti Demokrat, pemangku Anggota Jawatankuasa Eksekutif Rames Rattanachaweng berkata pendirian parti itu masih belum jelas sehingga pemimpin parti dan anggota eksekutif seterusnya dipilih dalam perhimpunan agung parti pada 15 Mei.

"Pemimpin dan anggota eksekutif yang baharu dilantik akan membincangkan pelbagai isu termasuk pendirian parti untuk menyertai PPRP," katanya.

Untuk memilih perdana menteri yang baharu, parti pro-junta dan Democratic Front memerlukan majoriti 376 undi iaitu gabungan 500 di Dewan Perwakilan dan 250 Senat.

Bagaimanapun, Palang Pracaharat mempunyai kelebihan kerana 250 anggota senat dilantik pro-junta itu.

Dengan ini, pro-junta hanya memerlukan beberapa undi untuk meraih 376 nombor manakala Democratic Front masih jauh di belakang.

-- BERNAMA