Pemimpin Hamas dan Israel telah bersetuju untuk melancarkan gencatan senjata secara rasmi pada awal pagi Sabtu selepas lima individu terbunuh dalam pertempuran pada Jumaat, termasuk seorang askar Israel.

Jurucakap parti politik Palestin tersebut, Fawzi Barhoum berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mesir telah menjadi pihak perunding bagi memastikan gencatan senjata tersebut berlaku sebelum peperangan tercetus di bumi Gaza.


Menurutnya, pihak Palestin dan Israel telah bersetuju untuk kembali ke kawasan masing-masing. Ia merupakan gencatan kedua yang dicapai dalam masa seminggu selepas konflik ketegangan kedua-dua pihak semakin memuncak sehingga membawa risiko peperangan.

Pada Jumaat, seorang askar Israel ditembak mati oleh pihak Palestin di kawasan sempadan. Ia merupakan insiden pembunuhan askar pertama direkodkan di kawasan Gaza sejak perang di antara Palestin dan Israel tercetus pada 2014.


Pada masa sama, pihak berkuasa Israel menembak mati seorang warga Palestin yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di sempadan Gaza berdekatan Israel. Askar rejim Zionis itu melepaskan lima tembakan dan melantun gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan.


Seorang mangsa, Mohammad Sharif Badwan, terbunuh manakala 120 lagi penunjuk perasaan cedera.

Badwan, 27 tahun, merupakan mangsa keempat serangan Israel pada Jumaat lalu. Serangan rejim itu termasuk dari udara menggunakan jet pejuang dan bom.


Dalam sebuah kenyataan, pihak berkuasa Israel berkata ia telah melancarkan serangan ke 60 kawasan di tiga kompaun milik Hamas di Palestin. Sasarannya termasuk sebuah kawasan pembuatan senjata, tempat masuk terowong, sebuah kilang yang digunakan untuk barangan pembinaan, pusat simpanan UAV dan bilik operasi ketenteraan.

Tiga pejuang Hamas dilaporkan meninggal dunia dalam serangan itu.

Sejak 30 Mac lalu, Israel dilaporkan telah membunuh 140 warga Palestin dan mencederakan 160,000 lebih individu yang menyertai tunjuk perasaan bagi mendesak pembebasan Palestin dari cengkaman rejim itu.


Protes yang berlansung sejak empat bulan lalu turut mendesak Israel memberi kebenaran kepada warga Palestin yang dihalau dari rumah dan tanah milik keluarga mereka sejak 70 tahun lalu untuk kembali menuntut hak mereka.

Perarakan yang diberi nama 'The Great March of Return' dimulakan sejak 15 Mei bagi mengingati tragedi insiden Nakba atau 'kemusnahan' dimana lebih 750,000 warga Palestin dihalau dari rumah dan kampung mereka sejak Israel ditubuhkan pada 1948.