Indonesia akan menghantar nota bantahan diplomatik kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) serta memanggil timbalan duta negara itu di Jakarta bagi menjelaskan insiden Panglima Tentera Indonesia (TNI) yang dilarang masuk ke AS.

Reuters melaporkan, Panglima TNI Jeneral Gatot Nurmantyo yang baru hendak menaiki pesawat pada Sabtu telah menerima maklumat bahawa pihak berkuasa AS menafikan kemasukannya ke negara pentadbiran Donald Trump tersebut.

Nurmantyo sepatutnya berlepas ke AS atas undangan Pengerusi Ketua-Ketua Petugas U.S. Marine Corps, Jeneral Joseph F. Dunford Jr., serta dijadual menyertai forum yang dianjurkan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington pada Isnin.

Jurucakap Kementerian Hal-Ehwal Luar Negara Indonesia, Arrmanatha Nasir, berkata Gatot sudahpun memaklumkan kementerian tentang larangan kemasukannya namun tidak mengesahkan sebarang butiran lanjut.

"Selepas menerima maklumat itu, kementerian kami telah meminta duta besar kami di Washington DC untuk menghantar nota diplomatik kepada Setiausaha Negara AS bagi menjelaskan duduk perkara,” ujarnya.
Kementerian juga akan memanggil timbalan duta besar AS di Jakarta untuk menjelaskan isu berkenaan.