Tutup

Berita  | Dunia

Pasukan pakar WHO berada di China, siasat punca koronavirus

Pasukan pakar WHO berada di China, siasat punca koronavirus
Tedros Adhanom Ghebreyesus bercakap pada sidang media mengenai koronavirus novel di Geneva, Switzerland, 6 Feb, 2020. REUTERS
LONDON: Pasukan khas pakar perubatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiba di China pada Isnin bagi menyiasat jangkitan novel koronavirus.

Menurut Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, pasukan yang diketuai Pakar Kecemasan Dr Bruce Aylward itu akan bekerjasama dengan rakan sejawatnya di China.

Kata beliau, pasukan tersebut akan berusaha mendapatkan jawapan mengenai virus yang setakat ini telah menjangkiti hampir 41,000 orang di China termasuk lebih 1,000 yang meninggal dunia.

"Kami berharap pasukan lain akan menyertai kumpulan pakar tersebut dengan segera.
"Buat masa ini, bilangan pakar dalam kumpulan terbabit adalah antara 10 dan 15 orang," katanya menurut laporan Reuters.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Koronavirus Angka korban terus meningkat, lebih 1,000 maut 
BACA: Pakar antarabangsa WHO ke China, bantu siasatan koronavirus

Dalam masa yang sama, Tedros turut menyuarakan mengenai laporan pihak berkuasa Eropah bahawa virus itu boleh menjangkiti kepada mereka yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China.

Jelas Tedros, pola jangkitan novel koronavirus secara keseluruhan tidak berubah iaitu 99 peratus berlaku di China dan kebanyakan pesakit menunjukan gejala ringan.

"Baru-baru ini kita dapat lihat beberapa pihak membangkitkan mengenai jangkitan koronavirus yang dilaporkan di Perancis dan United Kongdom.

"Penularan kes-kes jangkitan kecil sedemikian tidak mustahil boleh bertambah, tetapi buat waktu ini, bilangannya masih kecil. Objektif kami masih sama, iaitu untuk mengekang penularan virus ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Michael J. Ryan berkata, jangkitan novel koronavirus itu tidak akan memasuki zaman gelap.

Sebaliknya kata beliau, virus itu akan menghubungkan para saintis sekali gus meningkatkan kemampuan untuk menangani kes tersebut dengan cepat.

Kata beliau, terdapat sebanyak 168 makmal di seluruh dunia yang dilengkapi dengan teknologi yang diperlukan untuk mendiagnosis koronavirus.

"WHO sedang berusaha melengkapkan makmal dengan kemampuan yang cukup bagi menangani kes novel koronavirus ini dengan pantas," katanya.