Kementerian Kebudayaan Vietnam telah mengeluarkan arahan khusus berkaitan pembinaan patung yang ‘tidak senonoh’ di bandar Hai Pong kerana memaparkan arca dewa berkepala haiwan dengan alat kelamin manusia.

Arca-arca yang mencetuskan kontroversi yang dipamerkan di sebuah resort percutian di bandar tersebut, telah dipakaikan dengan bikini dan pakaian mandi, namun langkah itu ternyata mencetuskan rasa ingin tahu orang awam.

“Kami sebenarnya tidak mahu menutup patung-patung itu kerana ia hanyalah karya seni, tapi kami mendengar dan bertindak susulan respons yang diterima,” ujar Naib Pengarah Syarikat Pelancongan Hon Dau International, Nguyen Trung Thanh, yang juga pemilik patung-patung itu.

Meskipun Vietnam mengalami reformasi ekonomi dan keterbukaan terhadap perubahan sosial, negara acuan Komunis itu secara umumnya masih konservatif tentang seks dan aksi bogel.

Tindakan menutup bahagian tertentu pada patung-patung itu hanya menambah tarikannya.

Salah satu patung lelaki berkepala kuda telah dipakaikan dengan skirt mini. Sebuah lagi, dengan kepala kambing, dipakaikan seluar renang yang ketat. Semua itu telah mencetus sensasi atas talian.

Thanh malah pernah menukar pakaian dengan daun dan buah untuk menutup bahagian yang dikatakan ‘tidak senonoh’, namun ia terus mengundang perbualan di dunia maya.

Pihak kementerian bagaimanapun masih kurang senang dengan kaedah itu.

“Pembinaan arca patung dan pameran itu mempunyai nilai yang tidak sesuai dan bertentangan dengan budaya Vietnam,” ujar kenyataan media kementerian tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, patung-patung itu memberi impak negatif kepada 'persekitaran budaya' dan 'selera estetika' masyarakat.

Thanh bagaimanapun menjelaskan, pihaknya memantau maklum balas awam tentang patung-patung yang sudah berada di lokasi itu sejak lima tahun lalu, namun tiada yang memprotes.

“Ada yang mengambil gambar, ada yang ketawa, ada yang malu. Tapi tiada yang bertindak balas dengan kasar,” ujar Thanh, sambil menyatakan bahawa tiada perancangan untuk mengalihkan arca-arca patung itu kerana lokasi itu sudah ditetapkan sebagai tarikan untuk orang dewasa.