Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terpaksa menggantung misi bantuan kemanusiaan ke Timur Ghoutah tidak sampai 12 jam memasuki kawasan berkenaan.

Keputusan itu dibuat ekoran ancaman serangan daripada tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya, yang mempertingkatkan operasi udara dan darat dalam usaha untuk menawan lebih banyak kedudukan kumpulan penentang.

PBB melaporkan sekurang-kurangnya 68 terbunuh dalam serangan pada Isnin ketika berpuluh trak bantuan berjaya memasuki bandar Douma.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), misi bantuan ke Douma dari Damsyik yang berjarak 19 kilometer mengambil masa hampir sembilan jam.

Jurucakap Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Linda Tom berkata, serangan turut dilancarkan ketika bantuan dipunggah.

Pengalaman sama turut dikongsi pegawai UNHCR.

"Kami mengagihkan bantuan setakat kami mampu ketika serangan," kata pegawainya, Sajjad Malik di laman Twitter.

Tambahnya lagi serangan bertubi-tubi menyebabkan orang awam terperangkap dalam situasi yang teruk.

Misi penghantaran bantuan perubatan dan kemanusiaan kali ini juga dikritik hebat agensi PBB kerana perbuatan tentera regim yang bertindak merampas bekalan dan peralatan ubat-ubatan termasuk peralatan bedah dan insulin.

Sebelum itu, tentera regim Bashar al Assad dilapor mengeluarkan lebih 70 peratus bantuan peralatan perubatan yang dibawa konvoi kemanusiaan ke Timur Ghoutah.

Kejadian itu disahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataannya pada Isnin.

"Semua peralatan penting, pembedahan, dialisis dan insulin telah ditolak oleh pihak keselamatan,"kata WHO melalui email yang dihantar kepada agensi berita Reuters.

Katanya, kesemua peralatan penting itu telah dipunggah ketika pemeriksaan dibuat.

Setakat ini, berpuluh trak dilapor telah berjaya memasuki Douma.

Salah seorang pegawai kanan PBB yang menyertai misi penghantaran kemanusiaan bagaimanapun meluahkan rasa kecewa kerana ia telah dicabul regim Bashar dan konco-konconya.

Mengikut persetujuan yang dicapai pada Ahad lalu, Damsyik dikatakan telah menyatakan persetujuan bahawa proses penghantaran dibuat dalam keadaan aman.

Ketika konvoi berkenaan menghala ke kawasan di Timur Ghoutah semalam, tentera regim dan sekutunya berterusan melancarkan serangan sehingga mengorban sekurang-kurangnya 68 nyawa orang awam.

"Kita perlu memastikan bahawa kita boleh menghantar bantuan kemanusiaan dalam keadaan yang baik," kata pegawai PBB, Ali al-Zatari kepada Reuters.

Sehingga Selasa, lebih 709 jiwa menjadi korban pembunuhan Bashar dan konco-konconya sepanjang siri serangan udara dan pengeboman besar-besaran di buat ke atas kawasan berkenaan, sejak awal Februari lalu.