Statusnya badan dunia, namun hakikatnya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut berdepan masalah kewangan.

Setiausaha Agung Antonio Guterres mendedahkan, PBB mungkin tiada lagi dana untuk membayar gaji kakitangannya bulan depan.

"Bulan ini, kita akan mencapai defisit paling teruk dalam dekad ini. Kita berdepan risiko... memasuki bulan November tanpa duit yang cukup untuk bayar gaji pekerja.

"Kerja kita dan usaha pembaharuan kita dalam taruhan," katanya kepada jawatankuasa belanjawan PBB pada Selasa.

Situasi tersebut, katanya, bakal berlaku sekiranya negara anggota tidak melunaskan hutang mereka.

Menurut Guterres, beliau terpaksa memotong perbelanjaan badan itu sejak Januari, bagi membolehkannya mempunyai dana mencukupi untuk mengadakan Perhimpunan Agung bulan lalu.

Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata, setakat ini, 129 negara sudah melunaskan bayaran hutang bagi 2019, bernilai hampir ASD2 bilion.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS), penyumbang terbesar belanjawan PBB, masih belum melunaskan hampir ASD1 bilion hutangnya.

Untuk 2019, AS menyumbang 22 peratus daripada keseluruhan ASD3.3 bilion yang diperlukan untuk menguruskan PBB.