Seorang pegawai diplomat Afghanistan ditembak mati pada Selasa oleh seorang pengawal keselamatan di konsulat Afghanistan di sini, dipercayai atas sebab-sebab peribadi.

Setiausaha ketiga konsulat itu telah dibunuh oleh pengawal berkenaan, yang juga warganegara Afghanistan.

Pegawai polis, Saqib Ismail memberitahu Reuters bahawa suspek telahpun ditahan.

"Pengawal itu menggunakan senjata automatiknya dan melepaskan beberapa das tembakan,” ujarnya.

Kementerian Luar Afghanistan mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan pegawai diplomat itu sebagai Muhammad Zaki Abdu.

“PIhak berkuasa telah mengambil tindakan segera untuk mengelakkan kemungkinan kehilangan nyawa yang lebih banyak,” ujar kenyataan itu.

Duta Afghanistan ke Pakistan, Omar Zakhilwal turut menceritakan insiden tersebut melalui akaun Facebook rasminya.

"Tembakan di dalam pejabat Konsulat Afghanistan di Karachi berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari ini… oleh seorang pengawal di dalam halaman hingga menyebabkan kematian pegawai diplomat kami,” tulisnya.

Timbalan Ketua Polis Azad Khan memberitahu: “Setakat ini, dari apa yang kami kumpulkan dari siasatan, pembunuhan itu berpunca daripada pertelingkahan peribadi antara pengawal itu dan setiausaha ketiga. Kami mendapati ada sejarah tidak persefahaman antara kedua-duanya.”