Menghulur khidmat dan bantuan kepada rakyat yang mengalami kesulitan merupakan perkara biasa bagi pejabat konsular Kedutaan Malaysia di sini, kecuali bila seseorang meminta dibawa bertemu Raja Thailand.

Setiausaha Kedua (Konsular) di kedutaan itu Halmah Hassan, berkata kes itu yang melibatkan seorang warga Malaysia tidak berapa lama dahulu benar-benar menguji kemampuannya dan kakitangan lain.

"Kes ini melibatkan seorang wanita yang mengalami gangguan mental dan mendakwa beliau anak kepada Raja Thailand serta anak saudara kepada Ratu Elizabeth. Wanita itu hanya mahu berjumpa dengan 'bapanya' itu," kata Halmah kepada Bernama.

Sepanjang masa berada di kedutaan, wanita itu yang datang ke Bangkok seorang diri dengan menaiki keretapi dari Hatyai berkeras tidak mahu menemui sesiapa selain mahu ke istana untuk menemui 'bapanya' itu, katanya.

Menurut Halmah, pegawai konsular kedutaan terpaksa memberikan alasan demi alasan termasuk mengatakan 'bapanya' tiada di Bangkok dan istana ditutup kerana kerja-kerja pengubahsuaian serta baik pulih.

Pada masa sama katanya, pegawai konsular turut menghubungi keluarganya di Malaysia yang mengakui anak perempuan mereka itu menghidapi gangguan mental.

"Akhirnya kami terpaksa memberi alasan yang beliau akan ke London untuk menemui 'emak saudaranya' tetapi penerbangannya perlu transit di Kuala Lumpur.

"Ini (sebenarnya) bagi membolehkan penghantaran pulangnya ke pangkuan keluarga," kata beliau.

Selain kes itu, kata Halmah, pegawai konsular di kedutaan itu turut berhadapan dengan kira-kira 10 kes lain membabitkan rakyat Malaysia yang menghadapi gangguan mental sejak tahun lepas.

Katanya, rakyat Malaysia yang menghadapi masalah seperti itu biasanya dihantar ke kedutaan sama ada oleh pemandu teksi atau pihak berkuasa Thailand.

Menurut Halmah, terdapat satu dari kes berkenaan membabitkan seorang lelaki memasuki Thailand tanpa sebarang dokumen pengenalan diri selepas menggunakan 'lorong tikus' di sempadan.

Bagi kes ini, katanya, pihaknya menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara serta keluarga lelaki itu di Malaysia untuk mengesahkan identitinya.

Lelaki itu akhirnya berjaya dihantar pulang ke pangkuan keluarga. - BERNAMA