Seorang pelajar Thailand yang kembali dari Arab Saudi dan masuk ke negara itu menerusi sempadan Malaysia merupakan kes COVID-19 terbaharu direkodkan di Thailand.

Pelajar berusia 26 tahun itu tiba di Kuala Lumpur dan menaiki bas ke Narathiwat, Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Perlis.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Dr Panprapa Yongtrakul berkata pelajar berkenaan dimasukkan ke fasiliti kuarantin pada 25 Mei dan disahkan positif COVID-19 semalam.

"Semua 39 penumpang di dalam bas itu menjalani ujian saringan COVID-19," katanya pada sidang media pada Sabtu.

Sehingga kini, tiada kematian dilaporkan di Thailand dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara itu adalah 3,077 dengan 57 kematian.

-- BERNAMA