Pemandu treler yang merempuh 20 penunggang motosikal di satu persimpangan lampu isyarat di Vietnam pada Rabu didapati positif dadah dan alkohol.

Menurut polis, lelaki berusia 32 tahun yang dikenali sebagai Pham Thanh Hieu menyerah diri beberapa jam selepas insiden dahsyat itu yang meragut empat nyawa dan mencederakan 16 yang lain.

Pemeriksaan perubatan ke atas suspek mengesahkan ketumpatan tinggi alkohol dalam darah selain positif heroin, lapor portal vnexpress.

Timbalan perdana menteri Truong Hoa Binh mengarahkan siasatan segera dilakukan bagi mengetahui punca dan langkah untuk menangani insiden yang disifatkan antara yang terburuk di wilayah selatan Long An itu.

Suspek yang ditahan untuk siasatan lanjut bakal berdepan pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Rakaman CCTV yang tular beberapa hari lalu menunjukkan suspek yang memandu treler merempuh penunggang motosikal di mana ada di antaranya diseret sejauh 150 meter sebelum treler itu berhenti.

Kemalangan jalan raya bukan perkara asing di Vietnam. Menurut Jawatankuasa Keselamatan Trafik Kebangsaan, lebih 18,720 kemalangan jalan raya berlaku pada tahun 2018 mengorbankan 8,244 orang dan mencederakan hampir 14,800 pengguna jalan raya.

Penggunaan dadah bukan asing dalam kalangan pemandu trak di Vietnam yang terpaksa menanggung beban kerja yang berat.