Lima lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila mereka dilanggar sebuah kereta yang dipandu warganegara Malaysia di daerah Rattaphum, Songkhla pada Rabu.

Portal berita Bangkok Post melaporkan, sewaktu kejadian, kesemua mangsa yang merupakan pekerja pemotong rumput sedang berehat sebentar di pinggir jalan.

Siasatan pihak polis mendedahkan suspek wanita berumur 31 tahun itu tiba di Thailand bagi tujuan melancong dengan memandu kereta Proton miliknya sendiri. Wanita itu dikatakan telah terlanggar sesuatu di jalan raya yang membuatnya hilang kawalan kenderaan lalu melanggar enam mangsa tersebut.

Pihak penyiasat sedang memperinci butir kejadian di lebuh raya di Tambon Khuhatai itu bagi menentukan nasib suspek.

Wanita berasal dari Kelantan itu memandu kenderaan berkenaan bersama dua lagi wanita dari Krabi dan sedang dalam perjalanan ke Hat Yai.

Sejumlah lapan orang lelaki melakukan tugas memotong rumput di bahu lebuh raya itu, namun enam daripada mereka dikatakan berehat di tepi jalan sebelum lima daripada mereka dilanggar suspek.

Empat daripada mereka maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi disahkan maut sewaktu menerima rawatan kecemasan di hospital.