announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Pembantu rumah bawah umur mati dibelasah majikan kerana 'lepaskan' burung kakak tua

Pembantu rumah bawah umur mati dibelasah majikan kerana 'lepaskan' burung kakak tua
Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan dera pada pipi, tulang rusuk dan paha pada mayat kanak-kanak perempuan itu. -Gambar hiasan
ISLAMABAD: Hanya kerana dituduh melepaskan dua ekor burung kakak tua peliharaan majikan, seorang pembantu rumah berusia lapan tahun dibelasah hingga meninggal dunia.

Suspek Hassan Siddiqi mengaku mendera kanak-kanak bawah umur itu di rumahnya di Rawalpindi, dekat sini.

Menurut polis, mangsa dipercayai tidak sengaja melepaskan burung kakak tua bernilai tinggi itu ketika sedang membersihkan sangkar haiwan peliharaan tersebut. 

“Hassan dan isterinya berasa marah lantas membelasah kanak-kanak itu.

“Mangsa kemudiannya tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital oleh pasangan itu, namun mereka menghilangkan diri sejurus tiba.

“Kedua-dua suspek, bagaimanapun, berjaya ditahan,” kata jurucakap polis kepada The Independent.

Mangsa dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

Hasil bedah siasat mendapati mayat kanak-kanak perempuan yang berasal dari bandar Muzaffargarh, wilayah Punjab itu mempunyai kesan dera pada pipi, tulang rusuk dan paha.

Selain kesan lebam lama yang belum sembuh sepenuhnya, laporan itu juga mengesahkan terdapat kesan luka pada anggota badan mangsa dipercayai akibat rogol.

Menurut polis lagi, mangsa diambil bekerja sebagai pembantu rumah melalui bapa saudaranya dengan persetujuan memberikan pendidikan selain bayaran upah.

Difahamkan, biarpun wilayah Punjab mempunyai undang-undang melarang majikan menggaji pekerja bawah umur 16 tahun, faktor kemiskinan mendesak keluarga menghantar anak mereka, terutamanya perempuan, untuk bekerja sebagai pembantu rumah.