Pendakwa raya Turki pada Jumaat mengeluarkan permohonan ekstradisi ke atas 18 suspek warga Arab Saudi berhubung kematian wartawan kanan Jamal Khashoggi.

Menurut sumber Kementerian Keadilan Turki, pejabat ketua pendakwa raya Istanbul sudah menyiapkan permohonan bertulis untuk mengekstradisi 18 suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan itu.

Sumber itu berkata, permohonan dihantar daripada Kementerian Keadilan kepada Kementerian Luar untuk disampaikan kepada Arab Saudi.

Katanya, sistem perundangan Turki lebih lengkap berbanding Arab Saudi untuk menegakkan keadilan dalam kes ini.

"Prosiding mahkamah di Turki akan terbuka kepada pemerhati antarabangsa bagi memastikan ketelusan pada tahap paling tinggi," kata sumber itu.

Pada Khamis, polis Turki mengakui sedang meneliti sampel air diambil dari sebuah telaga di konsulat Arab Saudi di Istanbul sebagai sebahagian siasatan terhadap kes Khashoggi.

Beberapa minggu selepas memberi laporan bercanggah terhadap nasib Khashoggi, hujung minggu lalu Arab Saudi mengakui wartawan itu dibunuh ketika disoal siasat di konsulat itu, sekali gus mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Pada mulanya, Arab Saudi mendakwa, kolumnis The Washington Post yang lantang mengritik pentadbiran Riyadh itu maut dalam satu pergaduhan.

Bagaimanapun, Khamis lalu, Arab Saudi berkata pihaknya menerima maklumat baru dari penyiasat Turki yang menunjukkan suspek dalam insiden itu ternyata memang merancang untuk melakukan pembunuhan itu.

Khashoggi, kelahiran Arab Saudi, hidup dalam buangan di Virginia, Amerika Syarikat, sejak 2017, sejurus selepas Putera Mahkota Mohammed Salman dilantik sebagai pewaris takhta.