Tutup

Berita  | Dunia

Pemilu, PilPres 2019 penting untuk standard ASEAN

Pemilu, PilPres 2019 penting untuk standard ASEAN
Foto pada 2014 menunjukkan Prabowo dan Joko Widodo selepas bekas Gabenor Jakarta itu menang pilihan raya Indonesia. Prabowo menyatakan akan menyokong namun tidak akan segan untuk mengkritik pentadbiran Presiden Jokowi. Foto: Reuters
KUALA LUMPUR: Dengan keluaran dalam negara kasar tiga kali ganda daripada Malaysia pada 2017, Indonesia mempunyai kuasa ekonomi yang besar di ASEAN.

Sebagai sebuah negara dengan populasi 266 juta, keempat terbesar dunia pada 2018, Pemilihan Umum (Pemilu) dan Pemilihan Presiden (PilPres) yang akan berlangsung serentak pada April 2019 dijangka akan menjadi standard kepada satu proses demokrasi di ASEAN.

Di mata dunia, ini adalah pilihan raya ketiga terbesar dunia, yang akan diadakan dalam satu hari. 

Sesuatu yang dinantikan ASEAN
Timbalan Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Steven Wong, percaya ini menjadikan Pemilu ini sesuatu yang dinantikan ASEAN.

“Ia diadakan secara bebas dan demokratik dan ini dengan sendirinya menjadikan penting kepada ASEAN.
Dalam era ini (di negara lain) pilihan raya mungkin diadakan, namun anda mungkin tidak dapat keputusan yang demokratik.”
“Jika anda meneliti Piagam ASEAN, demokrasi dan hak asasi manusia adalah sebahagian daripada perlembagaan ASEAN.”

Namun, beliau menjangka calon yang akan bertanding dalam PilPres 2019 dijangka tidak akan melihat kepada isu ASEAN dan hubungan antarabangsa sebagai isu utama sepanjang kempen menjelang April ini.

Adakah isu ASEAN signifikan?

Wong menegaskan isu domestik seperti kos sara hidup dan isu melibatkan pengundi akan menjadi asas kempen Joko Widodo dan Prabowo Subianto.

“Presiden (Indonesia) selalunya tidak memenangi pilihan raya berdasarkan apa yang mereka janjikan tentang ASEAN atau polisi hubungan luar lain. Mungkin ada beberapa pengecualian. Namun secara amnya, (kempen presiden ini) adalah tentang isu asas,” kata Wong.

Bagaimanapun, ini tidak menghentikan Indonesia daripada memainkan peranan aktif dan mempimpin di ASEAN dalam menyelesaikan isu antara negara ahli.

Tambahnya, Indonesia melihat kepentingannya melangkaui apa yang berlaku dalam sempadan, meliputi apa yang terjadi di dalam rantau ASEAN.

BACA: 7 kontainer kertas undi dicoblos, KPU Indonesia sahkan 'hoaks!'

TONTON: 
AWANI Global: Apa yang diinginkan anak muda Indonesia #PilPres2019

"Jika sesebuah negara hanya melihat kepada apa yang berlaku di dalam sempadannya, keselamatan yang diperolehi, biarpun ini adalah apa yang pengundi ingin dengar, anda tidak akan dapat melindungi sempadan anda dengan baik," tambahnya.


Datuk Steven Wong ditemu bual Rizal Zulkapli untuk program AWANI Global.