Lawatan mengejut pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, ke China secara tidak langsung telah menamatkan pengasingan hampir enam tahun republik itu dari arena antarabangsa, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Media rasmi Korea Utara dan China pada Rabu telah melaporkan bahawa Kim mengadakan lawatan tidak rasmi selama empat hari ke China dan bertemu Presiden Xi Jinping.

Ia merupakan perjalanan pertama pemimpin Korea Utara itu ke luar negara yang diketahui umum sejak mengambil alih kuasa pada akhir tahun 2011.

Ia mendahului pertemuan beliau dengan pemimpin Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang telah dirancang serta bakal berlangsung masing-masing pada April dan Mei.

-- BERNAMA