Pakar pembedahan plastik di Perancis mengeluarkan amaran bahaya bagi lelaki menjalani prosedur pemutihan zakar.

Menurut seorang pakar pembedahan plastik Massimiliano Brambilla, trend terbaharu itu sebenarnya berbahaya serta berisiko tinggi kepada pesakit kerana kadar asid dan kimia yang digunakan.

Malah menurut Brambilla, ia tidak perlu dilakukan.

"Saya fikir ia tidak boleh dilakukan kepada seseorang, yang sebenarnya, tidak memerlukannya," jelas Brambilla.

Tambahnya kegilaan terbaru dalam kecantikan alat kelamin itu boleh meninggalkan kesan lecur dan terbakar kepada zakar, parut, kulit kasar dan bertentangan dengan lumrah sebenar kerana risiko tindak balas kulit.

Selain itu kajian turut mendapati pembedahan plastik hanya berjaya dilakukan pada bahagian badan lain seperti muka atau badan namun bukan di bahagian kelamin.

Awal bulan ini, sebuah klinik di Bangkok, Thailand mengesahkan 100 orang telah menggunakan perkhidmatan pemutihan zakar selepas hanya enam bulan ia dipromosikan.

Klinik terbabit kini mengenakan caj sekitar AS$650 untuk lima sesi pertama.

Menurut statistik global yang dihasilkan oleh Persatuan Pembedahan Plastik Estetik Antarabangsa (ISAPS), Thailand menduduki tempat ke-21 dari segi bilangan prosedur kosmetik yang dilakukan pada tahun 2016.

Data juga menunjukkan peningkatan besar dalam prosedur kecantikan alat kelamin di peringkat global.