Tutup

Berita  | Dunia

Penasihat Keselamatan AS lantikan Trump, Michael Flynn, letak jawatan

Penasihat Keselamatan AS lantikan Trump, Michael Flynn, letak jawatan
Flynn melalui suratnya berkata bahawa sudah berhubung dengan Trump tentang hasratnya dan memohon maaf. - Foto Reuters
WASHINGTON: Penasihat Keselamatan Negara lantikan Presiden Donald Trump, Michael Flynn, meletakkan jawatan pada Isnin malam, susulan kontroversi hubungannya dengan pegawai-pegawai Rusia sebelum Trump menduduki White House.

Flynn menghantar surat peletakan jawatannya beberapa jam selepas Trump berkata, melalui jurucakap, bahawa dia akan menilai semula situasi itu dan berbincang dengan Naib Presiden Mike Pence.
Flynn pernah berjanji kepada Pence bahawa dia tidak berbincang soal sekatan dengan Rusia, namun akhirnya subjek tersebut ditimbulkan juga.

Jeneral (B) Keith Kellogg, yang sebelum ini menjadi ketua petugas di Majlis Keselamatan Negara, telah dinamakan sebagai pemangku jawatan yang dikosongkan Flynn.
Bekas pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Jeneral (B) David Petraeus, dikatakan sedang dalam pertimbangan untuk mengisi jawatan itu.

Peletakan jawatan Flynn hadir selepas Jabatan Keadilan memberi amaran kepada White House beberapa minggu lalu tentang Flynn yang pernah berurusan dengan pegawai-pegawai Rusia sebelum Trump mengangkat sumpah pada 20 Januari.