Pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 tidak mungkin berterusan selama-lamanya.

Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss berkata perbincangan antara Australia, China dan Malaysia telah pun dijalankan sama ada untuk menamatkan pencarian dalam beberapa minggu lagi, lapor Reuters.

Tiada serpihan daripada pesawat Boeing 777 itu ditemui sejak ia hilang setahun lalu bersama 239 penumpang dan anak kapal dalam apa yang menjadi antara misteri terhebat dalam sejarah penerbangan.

MH370 hilang pada skrin radar tidak lama selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada awal 8 Mac 2014.

Penyiasat percaya ia telah terbang beribu-ribu batu jauh melencong dari laluan asal sebelum akhirnya terhempas ke Lautan Hindi.

Pencarian meliputi kawasan dasar laut seluas 60,000 km persegi kira-kira 1,600 km di barat Perth, Australia ini mungkin selesai Mei ini.

Truss berkata keputusan perlu diambil sebelum Mei sama ada untuk meneruskan pencarian di kawasan seluas 1.1 juta km persegi di sekitar zon carian utama jika tiada apa yang ditemui.

Perbincangan telah pun bermula tentang apa yang perlu dilakukan jika itu berlaku, termasuk kemungkinan pencarian akan dihentikan, kata Truss.

"Bagi kebanyakan keluarga di atas pesawat, mereka tidak akan beroleh pengakhiran melainkan jika mereka tahu di mana pesawat itu berada dan mungkin mayat orang tersayang telah ditemui," kata Truss yang juga menteri pengangkutan dalam satu temu bual dengan agensi berita itu.

"Jelas sekali kami tidak boleh terus mencari selama-lamanya, tetapi kami mahu lakukan segala yang yang mungkin untuk mengesan pesawat itu."