Pencemaran udara di New Delhi dan bandar-bandar berhampirannya mencecah paras terburuk setakat Ahad.

Pihak berkuasa di ibu negara India tersebut telah mengisytiharkan darurat kesihatan awam dan mengarahkan penutupan sekolah.

Kualiti udara semakin merosot dan mencatatkan indeks melebihi 900 iaitu melebihi paras 500 yang dianggap teruk.

Jerebu tersebut dilaporkan pada tahap terburuk berbanding tahun-tahun sebelum ini sehingga menyebabkan lebih 30 penerbangan terpaksa ditunda dan dibatalkan disebabkan penglihatan yang kurang jelas.

Ia juga memudaratkan lebih 40 juta penduduk yang mendiami bandar tersebut.

Orang ramai dilaporkan mengalami pedih mata serta sakit tekak dan ada yang menggunakan topeng sebagai pencegahan.

Jalan raya kelihatan sepi kerana kebanyakan penduduk memilih untuk tinggal di rumah supaya tidak terdedah kepada jerebu toksik di luar.

Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal menerusi satu entri di Twitter berkata pencemaran di seluruh utara India telah mencecah tahap yang tidak boleh diterima.

“Pencemaran telah mencapai tahap yang tidak dibayangkan di seluruh utara India. Kerajaan Delhi telah mengambil pelbagai langkah.

“Rakyat Delhi juga banyak berkorban dan menderita. Kerajaan pusat harus mengambil langkah segera untuk menghulurkan bantuan.

“Kami menyokong segala inisiatif kerajaan pusat,” katanya menerusi laman Twitter.


Agensi pengawasan alam sekitar kerajaan, SAFAR mengeluarkan amaran bahawa kualiti udara tidak akan pulih dalam tempoh dua hari ini.

Ia disebabkan kelembapan udara daripada hujan renyai-renyai yang turun telah memburukkan lagi jerebu tersebut.

Selain itu, pembakaran tunggul tanaman oleh petani di negeri-negeri berhampiran turut memburukkan kualiti udara.

Bagamainapun, Naib Presiden agensi peramal cuaca swasta Skymet, Mahesh Palawat berkata tiupan angin semakin kuat dan ia akan mengambil masa 24 hingga 48 jam sebelum tahap pencemaran dapat turun ke paras 500.