APABILA peraturan baharu dilaksanakan kelak, khemah-khemah buat pendaki-pendaki Gunung Rinjani gunung yang popular di Pulau Lombok, Indonesia akan berteraskan peraturan patuh syariah.

Ini bermakna khemah-khemah penginapan buat pendaki bujang lelaki dan perempuan di kaki gunung berkenaan akan dipisahkan.

Peraturan baharu itu bakal diperkenalkan Agensi Taman Nasional Gunung Rinjani (TNGR) dalam usaha pemerintah tempatan menyokong industri pelancongan halal di Lombok, Nusa Tenggara Barat.

"Perkara ini masih dibincangkan, kami dalam usaha untuk melaksakan peraturan itu," kata Ketua TNGR, Sudiyono seperti dilaporkan portal berita The Jakarta Post pada Rabu.

Sudiyono berkata, pada ketika ini, agensi berkenaan memperkenalkan peraturan berteraskan syariah itu pada pihak swasta dan berkepentingan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa terdapat ruang yang mencukupi untuk memisahkan khemah bagi pengunjung lelaki dan wanita.

"Kami perlu mengasingkan (kawasan khemah) khemah lelaki di sebelah kanan dan khemah wanita di sebelah kiri," katanya sambil memberitahu bahawa peraturan itu hanya terpakai untuk pendaki yang belum berkahwin.

Kata Sudiyono, pasangan pendaki yang sudah berkahwin dibenarkan duduk dalam khemah yang sama.

Menurut beliau, polisi itu akan diperkenalkan kepada orang awam pada bulan hadapan.

Idea pelaksanaan peraturan baharu itu, kata Sudiyono, dikemukakan oleh masyarakat tempatan di persekitaran Gunung Rinjani.

Masyarakat di kawasan pelancongan itu percaya bahawa kejadian gempa bumi yang berlaku tahun lalu disebabkan aktiviti tidak bermoral dilakukan pendaki.

"Ini merupakan cadangan kami kepada kerajaan dan kami berharap akan dapat menawarkan pengalaman yang menyenangkan kepada pendaki," ujar beliau kepada portal berita itu lagi.