Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Penduduk Big Island berdepan ancaman, Gunung Berapi Kilauea masih mendidih

Penduduk Big Island berdepan ancaman, Gunung Berapi Kilauea masih mendidih
Letusan itu berterusan sejak gegaran pertama berukuran 6.9 magnitud yang kali pertama berlaku pada 3 Mei lalu. - Foto U.S. Geological Survey via AP
HAWAII: Dianggarkan lebih 2,000 penduduk di pulau Big Island, Hawaii masih terperangkap dan dikhuatiri ditimbus lahar yang mengalir akibat letusan dari gunung berapi Kilauea.

Tambah membimbangkan apabila penduduk berkata kepanasan lahar dan bunyi gegaran semakin kuat saban hari.

Letusan itu berterusan sejak gegaran pertama berukuran 6.9 magnitud yang kali pertama berlaku pada 3 Mei lalu.

Letusan dan gegaran paling tinggi dicatatkan pada 17 dan 19 Mei lalu dengan dua letusan besar berlaku yang menyaksikan lahar mengalir keluar dari tidak kurang 20  lohong gunung berapi terbabit.
"Lahar telah mengalir ke lautan pada pukul 11 malam dengan aliran yang masuk ke lautan adalah asid sulfurik dan asid hidroklorik.

"Semua yang tinggal di selatan aliran itu akan terkesan dengan gas yang keluar dari lahar dan ia bukan satu petanda baik," jelas Ikaika Marzo, seorang penduduk Big Island.
Pihak berkuasa tempatan memaklumkan operasi menyelamat mangsa kini sukar berikutan salah sebuah laluan utama musnah akibat lahar.

Sebagai langkah alternatif pasukan Palang Merah telah membina tiga tempat perlindungan bagi menempatkan penduduk yang hilang tempat tinggal.

Menurut ahli geologi, gunung berapi akan terus meletus selama beberapa hari lagi dan penduduk tempatan akan menghadapi lebih banyak cabaran apabila lahar bersatu dengan air laut.