Seorang lelaki dan ibunya dipukul sehingga mati oleh penduduk kampung yang berang dalam kejadian di daerah Tinsukia di negeri Assam, India pada Jumaat lalu.

Lebih mengejutkan, insiden itu berlaku semasa kehadiran polis.

Kejadian itu turut dirakam dan tular di platform media sosial.

Polis berkata, penduduk membelasah Ajay Tanti dan ibunya, Jamuna Tanti selepas disyaki membunuh bekas isteri dan bayinya yang berusia dua bulan, awal bulan ini.

Pada masa sama, polis menepis dakwaan gagal menghalang pembunuhan tersebut kerana semasa kejadian jumlah penduduk yang merusuh lebih ramai berbanding anggotanya.

Isteri Ajay, Radha Tanti Garh dan bayi perempuan mereka dilaporkan hilang sejak 5 Jun lalu.

Pada Jumaat lalu, beberapa penduduk menemui jasad Radha dalam tangki najis berhampiran rumah mangsa.

Berang dengan penemuan mayat tersebut, penduduk kampung menyerang Ajay dan ibunya menggunakan kayu dan batu.

Jamuna meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Ajay mati ketika dirawat di hospital kelmarin.

Polis berkata, pihaknya kini menyiasat dua kes iaitu pembunuhan dua beranak tersebut serta kes dilaporkan oleh bapa Radha.

Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan pencarian turut dilakukan bagi mengesan bayi tersebut. - Agensi