Gempa bumi sekuat 5.4 magnitud melanda wilayah selatan Korea Selatan pada Isnin, kata Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), susulan gegaran lebih awal yang berukuran 4.9 magnitud.

Gegaran kuat itu berlaku sekitar jam 8.30 malam waktu tempatan, dengan pusat gegaran di bandar Gyeongju.

Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) meletakkan gegaran kedua lebih tinggi daripada bacaan USGS, iaitu pada 5.8 magnitud.

“Ia adalah yang paling kuat pernah melanda negara ini,” ujar pegawai KMA, Yoo Yong-Gyu, yang turut menyatakan gegaran itu dirasakan di seluruh negara.

Setakat ini dua orang dilaporkan cedera.

Pusat laporan kecemasan menerima banyak panggilan sementara perkhidmatan kereta api di sesetengah wilayah dihentikan sementara.

Loji reaktor nuklear bagaimanapun masih beroperasi.

Aplikasi komunikasi paling meluas digunakan di negara itu, KakaoTalk, juga sebahagiannya tidak berfungsi kerana trafik yang sesak.

Media negara itu turut menyiarkan visual kawasan yang mengalami gegaran teruk, dengan kaca jendela yang pecah dan barangan yang berselerakan, selain orang ramai yang berlari panik untuk keluar dari bangunan.

Rekod sebelum ini adalah 5.2 magnitud yang berpusat di kawasan perairan di sebelah tenggara negara itu iaitu di Uljin pada tahun 2004. Pada tahun 1978, rekod bacaan yang sama berlaku di kawasan pergunungan Sokri.