Ribuan penduduk Sri Lanka pada Selasa berarak di ibu negara menuntut Presiden Maithripala Sirisena mengadakan sidang Parlimen.

Langkah itu dilihat perlu bagi menyelesaikan krisis pentadbiran negara itu susulan pemecatan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe.

Antara yang terlibat dalam perarakan di Colombo itu termasuk penggubal undang-undang dan aktivis hak asasi manusia.

Perhimpunan diadakan berhampiran kediaman rasmi Wickremesinghe.

Penunjuk perasaan memegang poster yang berbunyi "Mari tumpaskan pemerintah diktator yang melemahkan perlembagaan, pulihkan demokrasi, tegakkan perlembagaan dan adakan sidang Parlimen untuk mengakhiri krisis."

Bercakap kepada kumpulan yang berdemonstrasi, Wickremesinghe berkata Sirisena telah menggunakan kuasa eksekutifnya untuk menentang demokrasi dan mengetepikan Parlimen.

"Kita berkumpul di sini untuk memelihara proses demokrasi di negara ini," katanya.

Penyokong Ranil Wickremesinghe memegang poster ketika mengadakan tunjuk perasaan berhampiran kediaman rasmi perdana menteri di Colombo, Sri Lanka, 30 Okt, 2018. REUTERS

Jumaat lalu, Sirisena memecat perdana menteri itu selepas mendapat tahu Wickremesinghe bersama seorang menteri kabinet berpakat untuk membunuhnya.

Berdasarkan perlembagaan Sri Lanka, presiden mempunyai hak untuk melantik sesiapa sahaja yang beliau rasakan memiliki undi majoriti di Parlimen.