Belum pun reda dengan insiden pengeboman di tiga gereja yang mengejutkan masyarakat dunia semalam, satu lagi kes pengeboman dilaporkan berlaku di Markas Polrestabes, Surabaya, pagi ini.

Presiden Indonesia Joko Widodo menyifatkan serangan itu sebagai tindakan yang sungguh biadap dan melampaui batas kemanusiaan.

“Ini adalah tindakan pengecut, tidak bermartabat, biadap. Kita akan melawan terorisme dan basmi hingga ke akarnya,” katanya seperti yang dilaporkan BBC Indonesia.

BACA: TERKINI! Ibu pejabat polis Surabaya dibom, empat individu dikhuatiri terkorban

Beliau dalam ucapannya menggesa Ketua Polis Negara Republik Indonesia untuk menentang keganasan dan membasmi mereka hingga ke akar umbi tanpa ada sebarang kompromi.

Dalam kejadian letupan bom pagi ini, polis memaklumkan insiden itu dilakukan oleh seorang lelaki dan seorang perempuan menaiki motor seperti yang sempat dirakamkan Kamera Litar Tertutup, CCTV.

Letupan itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang cedera.

BACA: Sekeluarga lakukan serangan bom bunuh diri di Surabaya, 13 maut

Sebelum ini, satu letupan dilaporkan berlaku di tiga gereja dekat Surabaya yang mengorbankan 13 orang sementara 41 yang lain cedera.

Menurut General Tito Karvanian, letupan tersebut dilakukan oleh sebuah keluarga yang dikatakan baru pulang dari Syria dan belajar mengenai strategi keganasan.