Saban hari, kita sering mendengar berita cuaca yang tidak menentu sehingga mengakibatkan banjir, kemarau atau ribut taufan.

Sama ada sedar atau tidak, ini antara kesan daripada pemanasan global yang menganggu ekosistem bumi.

Baru-baru ini, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengunjurkan peningkatan suhu bumi sehingga 2 darjah celcius.

Ini bermakna penduduk dunia kini semakin terdedah kepada ancaman cuaca buruk dan dahsyat yang boleh meragut nyawa.

Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) telah menetapkan had pemanasan global kepada 1.5 darjah celcius, berbanding 2 darjah celcius sebelum ini.

Keputusan ini mendapat persetujuan IPCC di Incheon, Korea Selatan pada Sabtu selepas melihat 'Laporan Khas Pemanasan Global pada 1.5 darjah Celcius' yang melibatkan lebih 6,000 rujukan para saintis dan pakar dalam isu ini.

Laporan ini juga menujukkan penetapan had pemanasan global pada 1.5 darjah celcius ini boleh membantu menurunkan ketinggian paras laut 10cm pada paras lebih rendah berbanding 2 darjah celcius.

"Laporan ini memberi maklumat yang diperlukan para penggubal dasar dan pihak terlibat dalam membuat keputusan bagi menangani isu perubahan iklim.

"Perubahan yang dilakukan dalam beberapa tahun akan datang mungkin keputusan paling penting dalam sejarah kita," kata Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja IPCC II, Debra Roberts.

IPCC adalah satu badan utama di dunia yang membuat penilaian berkaitan perubahan iklim, kesannya dan risiko pada masa hadapan serta, menyediakan pilihan penyelesaian kepada isu berkaitan suhu bumi.