Seorang pensyarah kolej cedera parah apabila ditetak tiga lelaki di Bangladesh pada Rabu, ujar polis, dalam satu kes serangan yang melibatkan keganasan terhadap golongan minoriti.

Ripon Chakrabarti, 50, seorang pensyarah matematik dan penganut Hindu, menjerit meminta pertolongan di pintu rumahnya di Madripur kira-kira jam 5 petang, hingga membuatkan penduduk tempatan dapat menangkap salah seorang daripada penyerangnya.

Kejadian seperti itu terus berlaku walaupun selepas pihak polis menjalankan operasi membanteras aktiviti militan di negara berkenaan yang mencetus ketegangan antara agama.

Sejak Jumaat lalu, lebih 11,000 orang telah ditahan pihak berkuasa.

“Dia telah ditetak di bahagian kepala. Leher dan bahu. Dia kemudiannya digegaskan ke hospital besar di bandar Barisal selepas keadaan kesihatannya merosot,” ujar pegawai polis Kamrul Ahsan kepada AFP.

Tambahnya, pihak polis sedang menyoal siasat suspek namun masih belum mendapat sebarang jawapan kepada motif serangan tersebut.

Hampir 50 orang terkorban sejak tiga tahun lalu dalam serangan yang banyak Hindu, Kristian, Muslim Sufi, aktivis sekular dan orang asing.

Kebanyakan mangsa ditetak dengan parang hingga mati.

Bulan ini sahaja, seorang pemimpin agama Hindu hampir dipenggal kepalanya di sawah padi dan seorang pekerja kuil Hindu telah ditetak hingga mati, sementara seorang peniaga Kristian dijumpai mati berdekatan gereja.

Antara mangsa-mangsa lain termasuklah golongan aktivis liberal dan blogger sekular, serta dua warga asing dan dua aktivis golongan gay.

Kumpulan yang mempunyai kaitan dengan militan Daish mengaku bertanggungjawab bagi beberapa kejadian serangan tersebut.

Begitupun, pihak berkuasa menyalahkan kumpulan militan tempatan sekali gus menafikan kewujudan pengaruh kumpulan pengganas antarabangsa.