Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Pentadbiran Trump kecewa rakyat tidak patuhi penjarakan sosial

Pentadbiran Trump kecewa rakyat tidak patuhi penjarakan sosial
Deborah Birx bercakap mengenai koronavirus di Bilik Taklimat Media di White House, Washington, 2 April, 2020. (Foto AP)
WASHINGTON: Trend menaik jumlah kes positif COVID-19  di Amerika Syarikat (AS) membuktikan rakyat negara itu tidak patuh terhadap arahan Pentadbiran Trump berhubung garis panduan penjarakan sosial, lapor Sputnik memetik Penyelaras Jawatankuasa Bertindak COVID-19 Rumah Putih, Deborah Birx.

Kes positif di Amerika trend menaik dan negara itu kini mencatat kadar kes tertinggi di dunia dengan lebih 242,000 dijangkiti. Hampir 30,000 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam, termasuk 1,169 kematian, menurut Johns Hopkins University.
"Saya boleh katakan, daripada lengkung penularan, tidak semua warga Amerika mematuhinya (garis panduan penjarakan sosial)," kata Birx ketika sesi taklimat harian COVID-19 Rumah Putih.

"Kita perlu mengubah logaritma lengkung yang ada ini."
Birx menegaskan, 16 hari lalu, Presiden Donald Trump sudah mengeluarkan garis panduan mengehadkan interaksi dan penjarakan sosial, tetapi masih ramai lagi dijangkiti.

"Kita berada pada minggu 2.2 jika mengikut garis panduan itu. Bila presiden menetapkan garis panduan... 16 hari lalu, ia memang serius. Anda boleh lihat apa yang berlaku kemudian dan anda dapat saksikan jumlah individu yang dijangkiti selepas itu. 

"Orang yang dijangkiti hari ini dan mereka yang dirawat di hospital, dijangkiti selepas garis panduan keluar. Ini yang kita bimbangkan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata Amerika bimbang kerana negara ini masih berada dalam tempoh aliran menaik dan itu sebab mengapa presiden melanjutkan garis panduan selama 30 hari lagi.

BACA: COVID-19: Amerika Syarikat catat rekod kematian tertinggi dalam 24 jam 

BACA: COVID-19: Amerika Syarikat kini nombor satu di dunia, dengan lebih 82,000 kes positif

Terdahulu, ketua pasukan petugas khas itu berkata, mereka yang dijangkiti memasuki New York dan New Jersey tanpa dikesan, menyaksikan peningkatan ketara jumlah kes.

Bagaimanapun katanya, kawasan lain yang tidak berada dalam keadaan seperti itu seharusnya dapat meratakan lengkung jangkitan pada ketika ini, andai garis panduan berkenaan dipatuhi.

"Ia sepatutnya tidak berlaku di tempat baharu andai penjarakan sosial ini dipatuhi," kata Birx.

Katanya, tempat seperti California dan Washington masih stabil setakat ini, tetapi pasukan terus memantau.

Meskipun banyak daerah di seluruh negara menyaksikan lengkung jangkitan ini sudah mendatar, tempat seperti di Chicago dan New Orleans menyaksikan peningkatan ketara.

Beliau berkata, warga Amerika perlu mematuhi garis panduan itu bagi menterbalikkan lengkung berkenaan seperti yang dilakukan di Sepanyol dan Itali.

-- BERNAMA