Pentadbiran Donald Trump dilaporkan telah bersetuju mendedahkan identiti seorang pegawai Arab Saudi yang didakwa memainkan peranan sebagai perancang menjelang serangan pengganas pada 11 Sept 2001 di Amerika Syarikat, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media tempatan.

Akhbar Wall Street Journal pada Khamis melaporkan bahawa Jabatan Kehakiman AS telah bersetuju untuk mendedahkan nama individu terbabit, sekali gus mengundang ancaman berlaku keretakan diplomatik dengan sekutu utamanya dari Timur Tengah.

Merujuk "ciri luar biasa dalam kes itu," FBI berkata ia akan mendedahkan identiti pegawai Arab Saudi itu namun menolak desakan untuk mengeluarkan maklumat tambahan dan hanya memenuhi permintaan yang berkaitan dengan satu kes undang-undang, lapor akhbar tersebut.

Peguam sanak saudara mangsa serangan 11 Sept sebelum ini meminta kerajaan mendedahkan nama individu terbabit, yang muncul dalam satu dokumen daripada siasatan FBI pada 2012 berhubung tragedi itu.

Individu itu adalah seorang pegawai Arab Saudi yang didakwa telah membantu dua perampas di selatan California untuk melakukan rampasan pesawat penumpang terbabit, yang berakhir dengan tragedi menyayat hati dan mengejutkan dunia 18 tahun lepas.

Kerajaan Arab Saudi telah berulang kali menafikan sebarang kaitan dengan serangan itu.

Sejumlah 15 daripada 19 penyerang adalah rakyat Arab Saudi manakala pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden (yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu) berasal daripada keluarga Arab Saudi yang terkenal.

Diselaraskan oleh rangkaian al-Qaeda, serangan itu telah meragut hampir 3,000 nyawa apabila pesawat itu merempuh Pusat Dagangan Dunia di Bandaraya New York, Pentagon di Virginia dan sebuah padang di Pennsylvania.

-- BERNAMA