SEBUAH rakaman video yang memaparkan seorang penumpang United Airlines diheret keluar dari sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare, Chicago mencetuskan kemarahan netizen di media sosial.

Kejadian yang dirakam oleh salah seorang penumpang menunjukkan lelaki itu diseret keluar secara paksa oleh tiga pegawai keselamatan dari tempat duduknya gara-gara tempahan yang berlebihan.

Difahamkan, tempahan tiket yang berlebihan menyebabkan pihak United Airlines meminta segelintir penumpang untuk menangguhkan penerbangan mereka secara sukarela.

Oleh kerana tidak ada sesiapa yang tampil, syarikat penerbangan itu terpaksa memilih nama penumpang secara rawak.

Bagaimanapun, salah seorang penumpang yang terpilih itu enggan mematuhi permintaan mereka. Dia kemudian ditarik keluar oleh pegawai keselamatan penerbangan itu.

Penumpang itu kemudian lari masuk ke pesawat berkenaan sambil berkata, "I have to go home (Saya perlu balik ke rumah)" beberapa kali.

Dalam satu kenyataan, United Airlines mengesahkan lelaki berkenaan dibawa keluar dari pesawat itu.

“Penerbangan 3411 dari Chicago FSS ke Louisville terlebih tempah.

Kami telah meminta beberapa kali secara baik kepada penumpang itu untuk melepaskan kerusinya sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan,” kata jurucakap United, Charlie Hobart.

"Kami mempunyai pelanggan lain di dalam pesawat itu untuk sampai ke destinasi mereka dengan selamat. Jadi, kami perlu mempertimbangkan keadaan seperti itu.

"Kami memohon maaf atas tempahan berlebihan,” tambah Hobart.