Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang melakukan perang terhadap kegiatan dadah di negara itu, kini beralih ke fasa yang lebih tinggi dengan menyasarkan ‘ikan besar’, iaitu rangkaian dalang utama di sebalik bekalan dadah serta pihak-pihak berkepentingan yang selama ini berlindung dalam strata masyarakat yang lebih tinggi.

Duterte mengeluarkan arahan pada Selasa lepas, bahawa kempen membanteras itu tidak akan melibatkan pasukan polis, sebaliknya menyerahkan keseluruhan operasi kepada agensi anti-dadah negara itu.

Ketua Polis Filipina telah membubarkan kesemua 18 unit polis anti-dadah pada Khamis serta menyalurkan unit berkenaan bagi membanteras kegiatan jenayah yang lain.

“Kami kini menyasarkan dalang kepada sindiket ini, juga pelindung mereka yang merupakan individu kerajaan,” kata jurucakap Presiden, Ernesto Arbella kepada wartawan.

Abella turut berkata, aktiviti pengedaran dadah di jalanan oleh ‘raja dadah’ ini telah sedikit sebanyak berjaya dibendung dalam operasi atau kempen yang dijalankan oleh pihak polis sepanjang tempoh 15 bulan tersebut.

Mesej tersebut kedengaran sama seperti pengumuman yang dibuat setahun sebelum itu, di mana sebuah organisasi melancarkan “Project Double Barrel Alpha’ untuk menjejaki pembekal dan pengedar dadah ini.

Para pemerhati selama ini mengkritik kempen pembanterasan dadah yang dilaksanakan di bawah arahan Duterte, kerana ribuan orang yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah peringkat bawahan, terbunuh di tangan polis.

Duterte sebelum ini berdepan amaran dari komuniti hak asasi manusia dan penggubal undang-undang serantau serta Eropah, yang menyatakan bahawa Filipina boleh hilang keahlian dalam Perubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana tindakan tersebut.