PERANG dingin di antara dua negara kuasa ekonomi dunia tidak akan menguntungkan mana-mana pihak baik China mahupun Amerika Syarikat (AS).

Sehubungan itu, Duta China ke AS berkata pihaknya tidak mahu menambahkan ketegangan hubungan dua hala antara AS meskipun berlaku penutupan konsulat di kedua-dua negara terbabit sejak beberapa minggu lalu.

"Kedua-dua negara harus bekerjasama dalam semua aspek khususnya ekonomi dan bukan bermusuhan," katanya yang dipetik menerusi Reuters pada Rabu.

Menurutnya lagi, dunia berdepan dengan pelbagai cabaran. Pihaknya dalam pada itu menolak dakwaan AS yang menyatakan wujud aktiviti pengintipan di Konsulat China di Houston.

Hubungan China dan AS terus berdepan cabaran dan ketegangan tahun ini melibatkan pelbagai isu termasuk syarikat telekomunikasi Huawei, tuntutan wilayah oleh China di Laut China Selatan dan isu undang-undang keselamatan di Hong Kong.