DI CELAH-celah usaha Singapura memerangi virus korona yang menular serata dunia, terdapat kalangan individu tamak yang tergamak menipu di dunia maya.

Mereka mewujudkan skim penipuan menawar bekalan topeng dalam talian menggunakan berberapa platform e-dagang di Singapura.

Penipuan terdedah apabila pelanggan yang sudah menjelaskan pembayaran gagal mendapatkan bekalan topeng dan barangan yang dipesan.

Lebih memeranjatkan, salah seorang penganjur skim penipuan e-dagang ini baru berumur 15 tahun! Nasibnya akan ditentukan mahkamah pada Isnin.

Channel News Asia (CNA) Singapura melapor setakat ini, polis republik itu sudah mengesan 11 kes penipuan yang timbul akibat penularan COVID-19.

Modus operandi mereka yang menganjur skim penipuan termasuk menawarkan topeng muka melalui platform e-dagang seperti Carousell.

Penjual akan memaparkan butiran seperti nombor akaun bank tempatan, butiran kad pengenalan atau lesen memandu untuk memancing perhatian pembeli.

Tambah polis, pihak yang tertekan pada waktu ini, yang berebut-rebut membeli dan menyimpan topeng pada kadar yang tidak berpatutan, menjadi sasaran utama penganjur skim ini.

Pembeli hanya sedar tertipu apabila diarah mengambil pesanan mereka di klinik kerajaan – setelah bayaran dikredit dalam akaun penjual palsu – dan mendapati tiada apa-apa barangan yang tiba untuk kutipan.

Remaja 15 tahun yang berdepan pendakwaan melibatkan lima kes penipuan dalam talian berjaya meraih lebih dari S$16,300 sebelum tumpas di tangan polis.

Menggunakan laman e-dagang Gumtree dan Carousell, remaja terbabit menawarkan topeng muka dan hidung, barangan penjagaan kulit dan juga pakej percutian.

Selebihnya, tiga lagi individu turut bakal menghadapi pertudahan menipu melibatkan jualan topeng cegah COVID-19 bernilai lebih dari S$100,000.

Sejak kebelakangan ini, polis Singapura dihujani laporan dari pihak yang tertipu seawal Jan 2 lagi dan berterusan hingga Feb 19.