Siri kempen politik di Sepanyol dikejutkan dengan insiden remaja 17 tahun menumbuk tepat ke muka Perdana Menteri negara itu, Mariano Rajoy.

Tumbukan kuat itu telah memecahkan cermin mata yang dipakai Rajoy selain beliau mengalami kesan bengkak pada sebelah kiri mukanya.

Insiden itu berlaku pada malam Rabu ketika Rajoy sedang berkempen di bandar Pontevedra, Galicia.

Remaja tersebut, menurut, portal berita BBC, telah melepasi kawalan keselamatan Rajoy dengan alasan mahu mengambil foto ‘selfie’ dengan pemimpin tersebut

Namun setelah mendapat pelepasan dan bergambar, dia melepaskan tumbukan yang kuat ke wajah Rajoy, hingga membuatkan para petugas keselamatan terkejut dan serta-merta menahan remaja itu.

Dalam kejadian yang dirakam sepenuhnya oleh banyak kamera syarikat media yang membuat liputan itu, Rajoy bagaimanapun dilaporkan selamat dan kecederaannya tidak serius malah beliau menyambung semula kempen politiknya.

Pada 20 Disember ini, Sepanyol akan melangsungkan pilihan raya umum. Rajoy yang memimpin parti berhaluan konservatif itu dijangka akan memenanginya bagi penggal kedua walaupun diramal tidak mendapat majoriti seperti sebelumnya.