Pihak berkuasa Argentina meningkatkan kawalan di pintu masuk ke Buenos Aires selepas kerajaan mengumumkan akan melaksanakan semula perintah berkurung seperti fasa pertama sebelum ini.

Ini sekali gus bermakna ribuan perniagaan yang mengalami penurunan penjualan secara drastik sebelum ini terpaksa menutup kembali perniagaan mereka.

Pelaksanaan semula perintah berkurung itu akan dilaksanakan hampir di seluruh Buenos Aires dan di kawasan metropolitan yang merekodkan hampir 90 peratus kes baharu COVID-19.

Bagaimanapun, di beberapa wilayah lain di negara itu, penularan wabak itu masih terkawal.

Bimbang akan peningkatan kes di unit rawatan rapi (ICU) di bandar itu, Presiden Argentina, Alberto Fernández memutuskan untuk melaksanakan semula perintah berkurung sama seperti pelaksanaan fasa pertama yang bermula 20 Mac lalu.

Sekatan dimulakan dengan penggunaan perkhidmatan awam pada Isnin yang hanya membernarkan mereka yang berkerja bagi sektor utama seperti doktor dan pekerja pasar raya sahaja.

Perintah berkurung itu akan bermula pada Rabu sehingga 17 Julai ini.

Setakat ini, Argentina mencatatkan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 62,255 kes dengan 1,280 kematian.