Susulan kelonggaran perintah berkurung, kerajaan India bakal membenarkan perkhidmatan rangkaian kereta api untuk kembali beroperasi, lapor agensi berita AFP.

Perkhidmatan rangkaian kereta api terbesar dunia itu akan melibatkan sebahagian daripada 30 perjalanan kereta api dari ibu kota New Delhi ke beberapa bandar utama termasuk Mumbai, Bangalore dan Chennai.

Kementerian Perkhidmatan Kereta api India, bagaimanapun, berkata operasi pengangkutan itu akan mula dinikmati lebih 20 juta penduduknya secara berperingkat selepas ia dihentikan sementara sejak Mac lalu bagi menangani penularan COVID-19.

"Perancangan Perkhidmatan Kereta Api India ialah memulakan semula operasi secara berperingkat bermula Selasa (12 Mei)... kemudiannya akan memulakan lebih banyak perkhidmatan khas di laluan lain.

"Penumpang wajib memakai topeng muka dan melalui ujian pengimbasan suhu di lobi pelepasan dan hanya mereka yang tidak ada gejala simptom virus COVID-19 dibenarkan masuk," katanya.

Difahamkan, India memulakan pelan melonggarkan perintah berkurung yang dijangka berakhir 17 Mei ini, tetapi pengangkutan awam rentas negeri, penerbangan antarabangsa dan domestik masih dilarang.

Dalam pada itu, kerajaan membenarkan kereta api khas untuk beroperasi sejak awal bulan ini bagi membantu golongan miskin yang terkandas serta mereka yang kehilangan kerja untuk pulang ke kampung masing-masing.

BACA: 17 pekerja maut digilis ketika tidur atas rel kereta api

BACA: COVID-19: Misteri penularan dan kematian virus korona rendah di India

Sehingga Isnin, India mencatatkan 67,161 kes jangkitan dengan 2,212 kematian akibat COVID-19.