Budaya dan tradisi rakyat melalui permainan adalah signifikan setiap kali diadakan dalam acara tertentu bagi mengimbau nostalgia dan menghargai warisan turun temurun.

Kordinator WeMalaysia Australia Cawangan Queensland, Amirul Hafizan Zainal berkata, sejarah sudah membuktikan permainan rakyat yang diwarisi mampu membentuk kerjasama yang erat dan semangat berpasukan yang tinggi.

"Belia Malaysia di luar negara disyorkan sentiasa meningkatkan pengetahuan sejarah negara agar lebih memahami acuan aspirasi negara sejak zaman berzaman bagi memastikan kedaulatan negara dihormati dan pembangunan negara secara berterusan dicapai.

"Penglibatan pelajar dalam permainan rakyat akan mendorong mereka mengetahui dan mempelajari sejarah negara yang bukan hanya berkaitan kemerdekaan malahan lebih dari itu merasai keunikan Malaysia yang terdiri pelbagai kaum dan boleh bersama mempraktis permainan rakyat," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.

Amirul berkata demikian selepas penganjuran Kampung Fiesta di The University of Queensland anjuran Kelab UMNO Australia (KUA) dengan kerjasama WeMalaysia cawangan Queensland baru-baru ini.

Dalam acara yang sama, Presiden KUA Brisbane, Athifah Ain Alang Khalidin Alang menyarankan pelajar Malaysia di luar negara untuk sentiasa menghayati sejarah.

"Sejarah adalah permulaan sebuah episod dan riwayat manusia dalam merencanakan kehidupan yang lebih baik untuk mencipta kejayaan yang membanggakan keluarga dan negara.

"Tanpa sejarah, kita tidak mungkin dapat mengecapi kejayaan pada hari ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Program Kampung Fiesta, Mohamad Azizul Rahim menjelaskan, peserta bukan sahaja bersaing untuk menang tetapi objektif acara itu memperlihatkan kesungguhan setiap pasukan bekerjasama dalam acara yang dipertandingkan.

"Sekali gus ia menunjukkan pentingnya peranan Penghulu (ketua) dalam menerajui pasukan berlandaskan nilai murni seperti kepercayaan, kesetiaan dan bertolak ansur.

"Penganjuran Kampung Fiesta diangkat daripada idea permainan tradisional seperti baling selipar, larian berhalangan, tarik tali dan banyak lagi.

"Pada tahun ini, sambutan Kampung Fiesta sangat mengalakkan di kalangan pelajar lama dan baru di Queensland," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Koordinator WeMalaysia Wilayah Timur AS Faris Hakim Mazlan berkata, seramai 500 pelajar dan pegawai Kedutaan Malaysia di Wilayah Timur Amerika Syarikat serta Konsulat Jeneral Malaysia telah berkumpul di Pennsylvania State University, Pennsylvania bagi menyertai program East Coast Festival (ECFest) 2017.

"Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique telah merasmikan program ini.

"Antara aktiviti yang diadakan termasuklah ceramah Transformasi Nasional 2050 (TN50), Malaysia’s Got Talent, debat, futsal, bola jaring dan permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban.

"Program ini dilihat sebagai satu platform yang baik untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan meluaskan kenalan sesama pelajar," jelasnya.

Selain itu katanya, semangat kesukanan yang ditunjukkan peserta-peserta sepanjang program berlangsung mencerminkan semangat kebersamaan dan kekitaan yang tinggi.

"Manakala ceramah TN50 pula dilihat mampu memberi penjelasan kepada pelajar-pelajar mengenai tanggungjawab golongan muda untuk menyumbang buah fikiran kepada masa depan negara.

"Secara tidak langsung ia dilihat dapat menyemai semangat patriotisme di kalangan pelajar-pelajar sendiri," ujarnya.

Seperti beberapa program pelajar sebelum ini, WeMalaysia turut menyumbang kepada penganjuran ECFest 2017 bagi menyokong program-program berfaedah untuk pembangunan minda, fizikal dan intelektual pelajar-pelajar.

Tambahnya, WeMalaysia AS mengharapkan pelajar-pelajar mendapat manfaat dari penganjuran program seumpama ini yang merupakan satu platform baik untuk mengimbangi antara aktiviti akademik dan kokurikulum.

"WeMalaysia juga ingin mengucapkan tahniah kepada Penn State University Malaysian Student Club dan East Coast Presidential Council kerana berjaya menganjurkan program ini dengan jayanya," jelasnya.

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara. Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).