Keunikan Malaysia yang melambangkan keharmonian dan kemakmuran antara kaum serta budaya menjadi asas kepada pandangan positif rakyat antarabangsa terhadap negara.

Presiden WeMalaysia Australia, Muhammad Ali Halim Sirat berkata, ia berdasarkan semangat perpaduan yang dibina atas kepercayaan, toleransi selain aspirasi yang dihayati pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara.

"Amalan dalam memupuk semangat perpaduan dapat direalisasikan dalam program yang dianjurkan oleh pelajar di luar negara seperti program kepimpinan, sambutan kemerdekaan dan aktiviti sukarelawan.

"Usaha pelajar Malaysia di luar negara mengambil bahagian dalam aktiviti sukarelawan seumpamanya patut dipuji kerana amalan ini bukan sahaja memberikan kesedaran kepada masyarakat malah mengeratkan silaturahim pelajar Malaysia pelbagai kaum," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Muhammad Ali berkata demikian ketika mengulas perasmian Persidangan 5th Malaysian Summit of Australia (MASA) 2017 anjuran Malaysian Students' Council of Australia (MASCA) dengan kerjasama WeMalaysia Australia dan YNJ Migration Consultants baru-baru ini.

MASA adalah program tahunan yang dianjurkan oleh MASCA dengan menghimpunkan pelajar Malaysia daripada seluruh Australia untuk mengambil bahagian dalam persidangan dan aktiviti sukan. Program tahunan ini bertujuan untuk mengembangkan intelek dan potensi pelajar di luar negara.

Majlis Pembukaan MASA tahun ini diserikan dengan kehadiran Konsul Jeneral, Westmoreland Palon.

Dalam pada itu katanya, program itu juga merupakan sebahagian daripada aspirasi perancangan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dalam memastikan generasi akan datang mampu memiliki peluang yang lebih baik dengan mengambil kira kepentingan perpaduan.

Sementara itu, Pengerusi MASCA merangkap Pengarah Projek MASA 2017, Ryan Ritchie menjelaskan, salah satu objektif program MASA pada tahun ini adalah untuk menggalakkan perkongsian ilmu kalangan pelajar Malaysia di Australia.

"Selain itu, program ini juga menjadi platform kepada pelajar untuk menyuarakan aspirasi mereka melalui diskusi TN50 bagi membina masa depan negara yang gemilang," jelasnya.

Turut mengulas, Pengarah Education Malaysia Australia (EMA), Mohd Khalil Zaiyani Sumiran yang menyarankan agar pelajar Malaysia yang menuntut di Australia mengamalkan sikap saling bantu membantu dan bekerjasama dalam menjayakan setiap program yang membentuk ke arah pembangunan modal insan.

"Ini bertepatan dengan hasrat TN50 bahawa belia merupakan tunjang penting dalam menyahut cabaran harapan negara.

"TN50 adalah satu harapan. Impian ini perlu direalisasikan oleh pelajar Malaysia di Australia agar berusaha membentuk prestasi ke arah pencapaian akademik dan potensi diri.

"Pelajar Malaysia sewajarnya menjadi lebih berdaya saing dan bersikap positif terhadap setiap aspirasi nasional untuk meletakkan Malaysia sebagai hub pendidikan, teknologi, kesihatan dan lain-lain bidang keberhasilan utama negara," ujarnya.

Katanya lagi, aspirasi itu akan menjadikan negara sebagai contoh kepada negara jiran mahupun di kalangan negara maju pada masa akan datang.

Mohd Khalil Zaiyani merupakan pengarah baru EMA yang mula bertugas pada 3 April lepas menggantikan Suzzaini Abdullah.

Selain persidangan, MASA 2017 turut memuatkan slot sidang video bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkaitan TN50.

Sesi itu turut merangkumi penjelasan Khairy terhadap fokus TN50 serta menjawab persoalan yang dikemukakan oleh peserta.

Pengisian persidangan itu juga merangkumi dua sesi khas iaitu sesi Diversity Panel: Science dan sesi dialog TN50 bersama ahli profesional seperti Praveen Nagappan, Dr Jumiati Ismail, Kishva Ambigapathy, Profesor James Chin dan Mohd Khalil Zaiyani Sumiran.

Selain itu, antara acara di dalam MASA 2017 antaranya pertandingan bola sepak, bola tampar, tennis dan bola keranjang.

Peserta merupakan pelajar Malaysia yang mewakili wilayah masing-masing di Australia iaitu Victoria, New South Wales, Queensland, South Australia, Australian Capital Territory, Tasmania dan Western Australia sendiri.

MASA 2017 merupakan edisi kelima mengandingkan MASCA dan Malaysian Students’ Organisations (MSO).

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara. Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).