Tutup

Berita  | Dunia

Pertemuan Trump dan Xi di G20: Apa boleh kita jangkakan?

Pertemuan Trump dan Xi di G20: Apa boleh kita jangkakan?
Tidak dapat dinafikan hanya ada satu kejayaan terbesar yang dunia mahukan dari persidangan kali ini - pertemuan Donald Trump dan rakan sejawatannya, Xi Jinping. - Gambar fail
PRESIDEN China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe setuju bekerjasama melindungi sistem perdagangan bebas.

Rusia, India and China sepakat mengecam tindakan mana-mana negara ambil tindakan tanpa berunding dengan negara sekutu.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sedikit sebanyak menambah baik hubungannya yang tidak tentu dengan Canselor Jerman, Angela Merkel.

Walau apa pun kejayaan kecil yang disaksikan di Persidangan G20 setakat ini, tidak dapat dinafikan hanya ada satu kejayaan terbesar yang dunia mahukan dari persidangan kali ini - pertemuan Donald Trump dan rakan sejawatannya, Xi Jinping.
Kali terakhir kedua-duanya bertemu di G20 di Argentina tahun lepas, mereka setuju untuk meletakkan gencatan ke atas perang perdagangan mereka.

Sejak China dan Amerika melancarkan 'perang' ini pada Julai 2018, Amerika telah pun mengenakan cukai import, atau tarif, ke atas barangan buatan China bernilai USD250 bilion.
Sebagai tindak balas, China telah mengenakan tarif terhadap barangan buatan Amerika yang mereka import bernilai USD110 bilion.

Tetapi disebabkan keterlibatan kedua ekonomi gergasi ini dalam sistem ekonomi global, kesan berantai perang perdagangan ini dirasai di seluruh dunia walaupun ia hanya berlangsung antara dua negara.

Bagi Malaysia, Bloomberg menganggarkan perang perdagangan ini menyebabkan eksport Malaysia ke Amerika menyusut USD185 juta dari suku pertama 2018 ke suku pertama tahun berikutnya.

Tambahnya, sehingga 0.8 peratus daripada KDNK Malaysia terdedah kepada perang perdagangan ini.

Bermakna jika ianya berterusan, impaknya kepada Malaysia mungkin meluas – kos operasi syarikat tempatan mungkin meningkat, begitu juga harga barang kepada rakyat biasa.

Malah ia turut berupaya mempengaruhi aspek lain kehidupan kita, seperti yang dialami pengguna telefon pintar Huawei setelah Amerika meletakkan sekatan ke atas syarikat itu baru baru ini.

Trump berkata sekiranya perbincangan dengan Xi di G20 tidak membuahkan hasil, Amerika tidak teragak-agak untuk mengenakan tambahan tarif ke atas barangan China bernilai USD300 bilion lagi.

“Saya menantikannya,” kata Trump ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Xi.

“Saya rasa setidak-tidaknya, pertemuan kami akan produktif. Kita tunggu dan lihat apa berlaku dan apa hasilnya,” katanya.

Menurut Bloomberg lagi, keseluruhan KDNK dunia mungkin susut sehingga USD1.2 trilion sekiranya Trump dan Xi gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan perang ini.

Sekaligus, menyebabkan kita semua menanti saat dua sosok ini bertemu empat mata, dengan nasib ekonomi dunia di tangan mereka.