Tutup

Berita  | Dunia

Pesakit gagal diselamatkan, doktor berusia 73 tahun maut dibelasah 250 orang

Pesakit gagal diselamatkan, doktor berusia 73 tahun maut dibelasah 250 orang
Dutta telah lama bersara dan telah berkhidmat di estet teh dan dianggap sebagai doktor paling senior di rantau Jorhat Assam dan maut selepas dipukul secara beramai-ramai di hospital. - Twitter @DrVivekChouksey
ASSAM: MEMANG tidak berhati perut.

Seorang doktor maut selepas dibelasah seramai 250 pekebun ladang teh kerana mereka tidak puas hati apabila doktor itu gagal untuk menghadirkan diri bagi menyelamatkan nyawa rakan sekerja mereka, Somra Majhi, yang sedang tenat di sebuah hospital estet.

Mangsa yang dikenali sebagai Deven Dutta, 73, meninggal dunia akibat cedera parah selepas dibelasah tanpa belas kasihan, pada Sabtu.

Menurut laporan NDTV, para pekerja dari Estate Teh Teok menyerang Dutta, yang juga merupakan seorang doktor pemastautin kanan di hospital estet berkenaan. 

Somra Majhi, 33 tahun, yang kritikal telah dibawa ke hospital oleh kenalannya pada petang Sabtu.
Namun sebaik tiba di hospital, doktor yang bertugas pada masa itu dikatakan bercuti dan ahli farmasi juga tidak ada di hospital itu.

Ekoran itu, Somra Majhi gagal diselamatkan dan ia menimbulkan kemarahan bagi rakan dan keluarganya.

Dutta kemudiannya tiba di hospital itu pada sebelah petang, namun disambut sekumpulan pekebun yang berang lalu bertindak memukul dan mengurung doktor berkenaan di sebuah bilik.

Di bilik itulah, Dutta dibelasah beramai-ramai hingga mengalami kecederaan parah. Kekecohan itu berakhir apabila pihak polis tida di lokasi kejadian. Mangsa cuba diberikan rawatan kecemasan namun disahkan maut kemudiannya.
Dutta sebenarnya telah lama bersara sebelum menyambung khidmat di estet berkenaan, dan dianggap sebagai doktor paling ‘senior’ di rantau Jorhat, Assam.

Berikutan kejadian itu, Persatuan Perubatan India telah mengadakan mogok, termasuk penarikan balik perkhidmatan kecemasan di hospital estet di Jorhat, Assam.

Pihak berkluasa telah menahan seramai 21 suspek bagi tujuan siasatan.

Sementara itu, forum West Bengal Doctors mengutuk pembunuhan itu dan berkata "Dr Dutta telah berkhidmat dalam perkhidmatan masyarakatnya walaupun selepas bersara. Orang yang diberikan perkhidmatannya itu mengucapkan 'terima kasih' kepadanya dengan membunuh dia di depan polis.”.

Bukan itu sahaja, kejadian tersebut menimbulkan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial selepas menyaksikan gambar dan video kejadian itu tular.

Ramai juga mengutuk 'budaya penindasan massa' di India, yang telah menyaksikan peningkatan kebelakangan ini.

Seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Vivek Chouksey turut menzahirkan kekesalan di media sosial dengan menegaskan bahawa hal itu sangat serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

Tag: Doktor dibelasah, meninggal dunia, cedera, India, maut, mangsa


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.