Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Ahad untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang Kemuncak berkaitan yang bermula hari ini.

Pesawat membawa Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Clark Airport pada 12.39 tengah hari waktu tempatan.

Pasangan itu, yang berlepas dari Da Nang, Vietnam, selepas menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), disambut oleh antara lain, bekas Presiden dan Wakil Pampanga Gloria Macapagal-Arroyo serta Duta Malaysia di Filipina, Datuk Raszlan Abdul Rashid.

Perdana menteri mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak peringkat pemimpin kali kedua dianjurkan Filipina tahun ini sebagai sebahagian daripada tugas selaku pengerusi ASEAN sebelum menyerahkannya kepada Singapura.

Anggota delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Najib dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe lewat hari ini, sebelum menghadiri majlis makan malam gala khas yang diadakan bersempena ulang tahun ke-50 ASEAN.

Presiden Rodrigo Duterte akan mempengerusikan Sidang Kemuncak itu, bertemakan '"Kerjasama bagi Perubahan, Melibatkan Dunia," yang mencerminkan sokongan Manila untuk menggalakkan perpaduan dalam kalangan 10 negara anggota ASEAN dan rakan global perkumpulan serantau itu.

Para pemimpin akan membincangkan isu serantau dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama seperti Laut China Selatan, krisis pelarian Rohingya, ketegangan di Semenanjung Korea, memerangi keganasan dan keganasan melampau, serta ekonomi digital siber.

Pemimpin dunia yang akan menghadiri Sidang Kemuncak Manila termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Keqiang, Perdana Menteri India Narendra Modi, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, Perdana Menteri Rusia Dmitry Medvedev, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in dan Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull.

Presiden Majlis Eropah Donald Tusk daripada Kesatuan Eropah dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres juga dijadual menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Trump memberitahu sidang akhbar di Hanoi hari ini beliau berharap untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, dan sambil menyifatkannya sebagai bakal menjadi suatu perjumpaan yang amat istimewa, presiden Amerika Syarikat itu berkata ancaman serta provokasi Korea Utara akan menjadi satu daripada perkara utama yang akan dibincangkan semasa kunjungan beliau ke Manila.

Perhimpunan di Manila ini akan menyaksikan berlangsungnya 11 Sidang Kemuncak dan dijangka menerima pakai 56 dokumen hasil, termasuk Konsensus ASEAN yang tidak mengikat dari segi undang-undang, berhubung Perlindungan dan Penggalakan Hak Pekerja Migran.

-- BERNAMA