Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha pada Rabu mengarahkan pihak berkuasa meningkatkan keselamatan dan memburu dalang serangan di Wilayah Yala, di selatan negara itu yang telah meragut nyawa 15 orang pada Selasa.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengutuk serangan itu dan berkata penyerang berkenaan menjadikan tempat pemeriksaan sebagai sasaran mereka dalam usaha memberi tekanan terhadap rundingan damai yang sedang diadakan di selatan Thailand.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak keselamatan di selatan negara itu supaya meningkatkan tahap keselamatan dan sentiasa berwaspada kerana mereka boleh menjadi sasaran penyerang pada bila-bila masa.

"Mereka (penyerang) memilih sasaran mudah untuk meletakkan tekanan bagi memberi kelebihan terhadap mereka dalam proses rundingan damai. Polis sedang memburu dan akan membawa mereka ke muka pengadilan," katanya dalam persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet di sini pada Rabu.

Prayuth turut merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga mangsa serangan itu.

Beliau turut mengarahkan pasukan Pemerintah Keselamatan Dalaman (ISOC) Wilayah keempat untuk memberikan bantuan kepada mangsa dan juga anggota keluarga mangsa serangan itu.

Dalam insiden kira-kira pukul 10.15 malam (11.15 malam waktu Malaysia) semalam, sekumpulan lelaki bersenjata telah menyerang pos keselamatan di Kampung Thung Sadao dan Kampung Thanglum di Lampaya, mengakibatkan 15 orang terbunuh dan empat tercedera.

Sehingga kini kira-kira 7,000 orang terbunuh dalam konflik di empat wilayah di selatan Thailand yang bergolak yang terdiri daripada Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla.

Sejak beberapa tahun lepas Mara Patani telah mengadakan rundingan damai dengan kerajaan Thailand bagi mencari penyelesaian kepada konflik yang telah berlarutan sejak tahun 2004.

Malaysia bertindak sebagai fasilitator kepada rundingan damai di selatan Thailand antara Bangkok dan Mara Patani. Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC) Jeneral Wanlop Rugsanaoh pula adalah ketua baharu bagi perundingan damai selatan Thailand, berkuatkuasa 1 Okt.

-- BERNAMA