Tutup

Berita  | Dunia

Polis serbu universiti, ancam tembak penunjuk perasaan dengan peluru hidup

Polis serbu universiti, ancam tembak penunjuk perasaan dengan peluru hidup
Penunjuk perasaan bertindak membakar pintu masuk Universiti Politeknik Hong Kong - AFP
HONG KONG: Protes di Hong Kong semakin memburuk apabila penunjuk perasaan bertindak membakar pintu masuk ke Universiti Politeknik Hong Kong awal pagi Isnin.

Menurut portal CNN, beratus-ratus pelajar bersenjatakan anak panah dan busur dilapor masih berada di bangunan utama.

Walaupun diminta polis untuk meninggalkan kawasan, namun arahan berkenaan tidak diendahkan.

Pihak berkuasa bertindak tegas berikutan tindakan ganas penunjuk perasaan yang membaling bom petrol kepada polis.
Polis melepaskan gas pemedih mata dan memberi amaran akan menggunakan peluru hidup jika tiada pilihan.

Presiden Kesatuan Universiti, Derek Liu dalam satu kenyataan berkata ribuan pelajar masih berada di dalam kampus berkenaan dan ada antara mereka yang cedera.
"Kami cuba untuk berhubung dengan pihak universiti, namun tidak mendapat respons setelah dua jam berhubung," katanya.

Dakwa Derek Liu, tindakan pihak polis menyerbu universiti berkenaan dengan membuat penahanan secara besar-besaran adalah satu langkah yang salah.

Terdahulu, seorang anggota polis cedera apabila terkena anak panah ketika pengepungan di universiti berkenaan.

Penunjuk perasaan turut membuat penghadang dengan menggunakan sampah, kon dan batu bata bagi menyekat jalan dan simpang di sekitar universiti berkenaan.

Universiti Politeknik Hong Kong merupakan antara pusat pengajian tinggi di sini yang digunakan penunjuk perasaan sebagai lokasi protes sejak beberapa minggu lalu.

Pihak universiti turut memaklumkan sebelum ini beberapa bahan kimia berbahaya telah dicuri dari makmal di situ.