Seorang wanita warga Nepal maut selepas dipercayai sesak nafas akibat asap daripada api yang dinyalakan ketika berlindung di dalam sebuah ‘pondok haid’ atau 'pondok datang bulan', satu tradisi lama yang banyak mendapat kecaman masyarakat.

Lebih menyedihkan apabila kejadian malang itu berlaku hanya selang beberapa minggu selepas dilaporkan seorang ibu dan dua anaknya turut maut dalam situasi yang sama.

Masyarakat negara itu telah lama mengamalkan tradisi beratus tahun yang digelar "chhaupadi" yang melihat kaum wanita yang datang bulan atau sedang haid sebagai tidak murni atau suci dan mereka perlu diasingkan.

Parbati Bogati, 21, ditemui mati pada Khamis lalu di wilayah Doti sewaktu ibu mertuanya datang meninjau.

“Kami syaki, mangsa terhidu asap dan lemas kerana pintu pondok tertutup dan tiada tingkap. Mangsa perlu menyalakan api di waktu malam untuk memanaskan badan,” menurut seorang anggota polis tempatan.

Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk tujuan autopsi.

Chhaupadi telah diharamkan pada 2005 namun masih tidak dikuatkuasakan di sesetengah bahagian negara itu terutama di kawasan jauh dan terpinggir.

Sewaktu tempoh datang haid, wanita diharamkan untuk menyentuh makanan, patung agama, ternakan dan lelaki.

Tiga minggu sebelum ini seorang ibu dan dua anaknya maut dipercayai berpunca dari amalan yang sama.

Susulan itu seluruh pondok di perkampungan di wilayah Bajura itu telah dimusnahkan.

Di bawah undang-undang, sesiapa yang menguatkuasakan amalan itu berdepan hukuman penjara tiga bulan dan denda AS$30.