PEMIMPIN tertinggi Vatican, Pope Francis, mengakui bahawa dunia tidak boleh mengaitkan Islam dengan keganasan, malah mengatakan bahawa ia boleh terjadi dalam mana-mana agama termasuk Katolik sendiri.

Beliau turut memberi peringatan bahawa Eropah mempunyai kecenderungan membentuk generasi mudanya ke arah keganasan.

"Saya tidak fikir ia tindakan yang betul untuk menyamakan Islam dengan keganasan," katanya kepada wartawan semasa pulang dari lawatan ke Poland.

Francis mempertahankan keputusannya untuk tidak menyalahkan Islam walaupun dia mengutuk insiden pembunuhan kejam seorang paderi Katolik di Perancis, rentetan serangan baru-baru ini di Eropah yang didakwa dilakukan anggota militan Daish itu.

"Dalam hampir setiap agama sentiasa ada sekumpulan kecil fundamentalis. Katolik juga begitu,

"Jika saya perlu bercakap mengenai keganasan orang Islam, saya perlu bercakap mengenai keganasan orang Kristian sekali. Setiap hari dalam akhbar saya melihat keganasan berlaku di Itali, ada yang membunuh teman wanita, ada yang membunuh ibu mertua, dan mereka yang melakukan ini adalah mereka yang telah dibaptiskan Katolik,” katanya.

Tambah Francis, agama bukan penggerak di sebalik keganasan yang berlaku sekarang.

"Anda boleh membunuh dengan lidah dan juga pisau," katanya, yang merujuk kepada peningkatan pihak populis yang menyebarkan api perkauman dan xenofobia.

Beliau berkata Eropah harus melihat negara sendiri terlebih dahulu di mana keganasan wujud apabila wang dijadikan 'tuhan' dan 'tiada pilihan lain'.

"Berapa ramai daripada orang muda Eropah kita yang kosong cita-cita, tiada kerja, jadi mereka beralih kepada dadah, alkohol, dan masuk kumpulan fundamentalis?" tanya Francis.