Presiden Burundi, Pierre Nkurunziza dilapor meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada usia 55 tahun.

Kematian Nkurunziza disahkan kerajaan menerusi laman rasmi Twitter pada Selasa.

“Pemerintah Republik Burundi dengan rasa dukacitanya mengumumkan kematian Pierre Nkurunziza, Presiden Republik Burundi yang tidak disangka-sangka berikutan kegagalan jantung pada 8 Jun 2020,” tulis kenyataan itu.

Mendiang menerajui republik Afrika Timur itu secara autokratik selama 15 tahun.

Nkurunziza telah menimbulkan kemarahan rakyat atas kemenangan beliau pada penggal ketiga tahun 2015, sekali gus meletakkan negara berada dalam krisis ketika itu.

Selain kekerasan yang telah meragut nyawa rakyat, Nkurunziza sebelum ini pernah didakwa melakukan tindakan keras terhadap pembangkang dan sekatan terhadap media.

Penggantinya Evariste Ndayishimiye yang dipilih sendiri Nkurunziza pada 20 Mei lalu dijadual mengangkat sumpah pada Ogos ini.